Manusia itu kalau kita kaji, nilai, analisa, di segi fiziknya tidak ada apa-apa keistimewaannya. Kerana pada fizikal manusia itu, ada dua perkara yang negatif.
Pertama: Kelemahan
Kelemahan yang kita maksudkan di sini ialah tubuh atau badan kasarnya tidak ada ketahanan. Ia mudah terdedah kepada bermacam- macam penyakit. Mudah diserang oleh demam, mudah ditimpa sakit kepala. Mudah sakit mata, sakit gigi. Ada penyakit yang lebih berat lagi seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, barah, strok atau angin ahmar dan lain-lain.
Selain itu ketahanan badannya sangat lemah dibandingkan jiwanya. Kalau terantuk, mudah saja luka atau bengkak dan sakit. Kalau jatuh atau terlanggar benda yang kuat atau kena langgar benda yang keras, mudah saja tergeliat, luka, patah, remuk dan hancur. Jika digunakan tenaga, mudah saja letih, lesu. Kalau tidak berhati-hati, ia membawa kepada sakit juga. Bahkan selepas menerima nikmat pun memberi effect kepada badan atau ada side effectnya. Contohnya, selepas makan lebih-lebih lagi kalau makan terlalu banyak, badan menjadi berat dan juga boleh membawa kepada berbagai-bagai penyakit. Selepas jimak iaitu selepas bersama dengan isteri, lebih-lebih lagi kalau ia kerap berlaku, badan menjadi lesu, lemah, hilang tenaga. Kalau lambat saja tidur di waktu malam, mata jadi mengantuk di waktu siangnya. Bukan setakat itu, badan pun menjadi lesu.
Begitulah lemahnya manusia itu. Ketahanan fizikalnya sangat tercabar dan selalu tercabar. Ketahanan fizikalnya sangat teruji. Dari cabaran luaran ini memberi side effect pula kepada manusia iaitu rohaninya pula tercabar, menjadikan emosinya tinggi, dia akan jadi pemarah, mudah tersinggung, benci, jemu dan lain - lain.
Kalau tidak dibendung dengan didikan Islam serta lemah pula bermujahadah, sifat batin yang negatif itu akan merosakkan orang lain. Maka timbul pula krisis dan perbalahan di dalam masyarakat manusia. Terjejas pula perpaduan, kasih sayang dan keharmonian hidup.
Kedua: Apa yang keluar daripada badan manusia, semuanya kotor dan menjijikkan.
Mari kita kaji kebenaran itu.
i. Air yang keluar daripada badan, peluh namanya, baunya masam, menjijikkan orang.
ii. Yang keluar daripada telinga, tahi telinga atau nanah yang busuk yang meloyakan.
iii. Yang keluar daripada hidung, hingus namanya atau tahi hidung, menjijikkan dan meloyakan, tiada siapa yang suka sekalipun yang punya diri.
iv. Yang keluar daripada mulut iaitu air liur, berbau busuk terutamanya air liur di waktu tidur, sangat busuk baunya lagi kotor. Adakalanya air liur itu najis (air liur basi).
v. Air mata walaupun tidak busuk, tetap dipandang jijik dan tidak digemari.
vi. Apatah lagi yang keluar daripada dua jalan, pintu depan dan pintu belakang, qubul dan dubur. Bukan saja terlalu busuk, jijik, bahkan najis. Lagi kotor. Benda yang keluar daripada manusia yang paling dibenci. Baunya sangat menyakitkan hidung manusia. Ia wajib dibasuh. Kalau tidak ia akan merosakkan ibadah kita, mengotorkan dan mencemarkan udara dan boleh menjejaskan kesihatan manusia serta boleh mengganggu ketenteraman.
Apa yang kita perkatakan tadi ialah perkara-perkara yang jijik yang semula jadi yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia merupakan tabiat semula jadi badan. Belum lagi kita memperkatakan perkara-perkara yang menjijikkan dan dibenci yang sangat menghinakan manusia serta menyusahkan manusia, iaitu penyakit-penyakit yang mendatang kemudian yang menimpa tubuh manusia seperti kudis, kencing manis, kayap, tokak, bisul, barah yang mengeluarkan nanah yang begitu busuk, kotor dan menjijikkan serta menyakitkan dan melemahkan tubuh manusia. Dengan itu lebih-lebih lagilah manusia itu tidak ada harga dan nilai dirinya. Adakalanya orang yang kita sayangi seperti anak dan isteri boleh tiba-tiba saja benci dan lari dari kita.
Kalaulah manusia itu tidak ada kebaikan dan keistimewaannya di sudut-sudut yang lain, yang ada hanya seperti apa yang telah disebutkan sebelum ini, di manalah istimewanya? Maka apalah erti hidup manusia? Tidak ada erti apa-apa kehadiran mereka di dunia ini. Hanya susah dan menyusahkan orang lain saja. Tidak ada harga dan nilai diri manusia itu. Mereka laksana sampah masyarakat. Bahkan lebih hina daripada sampah sarap. Kalau sampah yang tidak berguna yang mengganggu itu boleh disapu, kemudian dibuang atau dikumpulkan atau dilonggokkan kemudian dibakar saja, maka abunya boleh juga dibuat baja. Sedangkan manusia itu, tidak boleh dibuang apatah lagi hendak dibakar. Ia benar-benar bangkai bernyawa yang menyusahkan dan mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.
Oleh yang demikian, dengan rahmat Allah dan kasih sayang- Nya kepada manusia sebagai hamba-Nya maka Allah mahu muliakan manusia dan meninggikan darjatnya. Maka Allah utus para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam dan kepada mereka diberi panduan dan petunjuk. Nabi yang akhir ialah Sayidina Muhammad SAW. Padanya diberi Al Quran sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia, bagaimana manusia itu menjadi orang yang berguna. Di samping menjadi hamba- Nya yang mengabdikan diri kepada-Nya, manusia juga adalah khalifah-Nya untuk membangun, memajukan dan mentadbir dunia ini agar selamat dan bahagia di dunia. Di Akhirat kelak diberi ganjaran yang lebih besar lagi istimewa iaitu Syurga yang tiada tara dan bandingannya sebagai anugerah Allah kepada manusia. Kerana rahmat-Nya kepada manusia yang telah membuat kebaikan waktu di dunia seperti yang Dia mahu.
Oleh itu, manusia ambillah peluang berpandukan petunjuk dari Allah dengan cara besarkanlah Allah, cintailah Dia, takutlah kepada-Nya, sucikanlah Dia, merendah dirilah kepada-Nya, malulah kepada-Nya, bersyukurlah kepada-Nya, bertawakallah kepada-Nya, berharaplah kepada-Nya, redhalah dengan ketentuan- Nya, sabar terhadap ujian-ujian daripada-Nya melalui sembahyang, puasa, haji, membaca Al Quran, zikir, tasbih, tahmid, taqdis, mujahadah, jihad. Inilah caranya manusia berhubung dengan Khaliq-Nya sebagai hamba ciptaan-Nya.
Seterusnya sebagai khalifah-Nya pula; bangunkanlah dunia ini. Majukan dan tadbirlah mengikut sistem dan peraturan dari Allah kerana dunia ini Allah yang punya. Kita jangan memandai - mandai dan melakukan sewenang-wenangnya supaya dunia tidak rosak. Dan berkhidmatlah untuk sesama manusia demi untuk mencetuskan kasih sayang, perpaduan, kerjasama, keharmonian, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan bersama melalui kuasa, pentadbiran, ilmu, tenaga, pengaruh, wang ringgit, harta dan lain-lain. Sesuaikan dengan panduan daripada Allah agar Allah redha dan Allah rahmati serta berkati. Kemudian takutilah Allah di dalam setiap perkara itu. Dengan itu moga-moga apa yang dibuat oleh manusia tidak ada berlaku side effectnya yang negatif yang akan merosakkan manusia itu sendiri.
Siapa di kalangan manusia yang dapat melakukan sedemi kian rupa, inilah manusia yang bertaqwa di sisi Allah. Dia dapat kemuliaan daripada Allah dan keampunan-Nya. Di dunia pula orang yang berjasa dengan manusia kerana kebaikan yang telah dicetuskannya, maka orang itu telah menutup kelemahan-kelemahan yang ada. Dia telah mendapat martabat di sisi Allah dan di sisi manusia kerana walaupun di dalam kelemahan, dia telah menjadi manusia yang berguna. Di Akhirat kelak layaklah dia mendapat keampunan dari Allah serta dapat masuk ke Syurga-Nya.
Dalam pada itu kalau manusia itu tidak dididik dengan didikan Islam, menjadikan manusia tidak takut dengan Tuhan, lupa dengan kehidupan hari Akhirat maka manusia itu berani pula melakukan berbagai-bagai bentuk kejahatan sama ada terang-terangan mahupun secara sembunyi melalui anggota lahirnya. Tangannya digunakan untuk mencuri, merompak, merasuah, memukul, membunuh. Kakinya dihalakan ke tempat-tempat kejahatan dan maksiat, ke kelab malam, ke disko-disko, ke tempat-tempat pelacuran, ke tempat-tempat judi, ke tempat-tempat berpeleseran dan pergaulan bebas. Mulutnya digunakan untuk mengumpat, menghina, memfitnah, berbohong, memaki, mengherdik, bercakap lucah. Matanya digunakan untuk melihat perempuan-perempuan ajnabi, gambar-gambar lucah, melihat - lihat kecacatan orang untuk disebarkan. Telinga pula suka mencuri- curi dengar rahsia orang untuk disebar-sebarkan. Dengan akalnya pula manusia selalu sahaja berfikir untuk melakukan berbagai kejahatan, merancang untuk melakukan kerosakan di bumi Tuhan ini.
Setelah kita mengkaji tentang manusia, fizikalnya atau badan lahirnya dan badan kasarnya tidaklah istimewa mana. Lantaran itulah manusia berusaha untuk menutup kelemahan semula jadi yang lahir ini. Terpaksalah badan mereka dibersihkan selalu, disabun, disyampu, dibedak, digincu, disapu minyak wangi. Dihias pula dengan pakaian yang cantik lagi mahal untuk menarik perhatian orang agar orang boleh dekat dan bergaul. Kalau tidak, orang akan lari kerana bau peluh saja orang tidak tahan. Bahkan ampun maaf, untuk menunaikan fitrah semula jadi di antara suami isteri pun kalau tidak berhias-hias dan disapu badan dengan minyak wangi dan bedak, tuntutan fitrah itu boleh terbantut atau kemahuan terus mati. Akibatnya boleh timbul krisis rumah tangga.
Begitu jugalah untuk menyihatkan badan agar ia sentiasa segar dan cergas, perlu riadhah dan joging selalu. Dijaga makan minum, cukup tidur, dijauhi tempat-tempat yang mendatangkan penyakit. Begitulah hakikat diri manusia semula jadi, tiada seorang pun boleh melepaskan diri atau mengelak diri daripada ditimpa oleh apa yang telah disebutkan.
Di sinilah kalau manusia itu sedar hakikat diri masing-masing yang tidak dapat mengelak daripada kelemahan-kelemahan sepertimana disebutkan di atas sekalipun dia raja dan orang yang berkuasa, berilmu dan berharta, maka manusia itu akan sentiasa insaf dan malu. Mereka akan tawadhuk dan merendah diri. Dengan itu mereka tidak akan sombong, megah, apatah lagi menindas dan menzalimi orang lain.
Thursday, May 21, 2009
Apalah Istimewanya Manusia Jika Tidak Ada Memberi Manfaat
Posted by The Almighty's Proxy at 10:31 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment